MH370 : Akan dapat membantu para waris untuk mengemukakan tuntutan ganti rugi mereka

Kuala Lumpur-- Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa kesemua 239 orang dalam pesawat penerbangan MH370 dianggap telah meninggal dunia.

Ketua Pengarah DCA,  Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan perkara itu melalui satu rakaman yang disiarkan melalui RTM jam 6 petang ini.

Menurutnya, perisytiharan itu akan dapat membantu para waris untuk mengemukakan tuntutan ganti rugi mereka.

Katanya, kerajaan Malaysia menganggap, para penumpang tersebut tidak mungkin akan dapat terus hidup di kawasan pencarian, di selatan Lautan Hindi, selepas 327 hari berlalu.

"Maka, dengan berat hati dan penuh dukacita, bagi pihak kerajaan Malaysia, kami dengan rasminya mengisytiharkan bahawa penerbangan Malaysia Airlines MH370 merupakan satu kemalangan...

"...kesemua 239 orang penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370 kehilangan nyawa mereka," katanya.

Menurutnya, perisytiharan itu dibuat mengikut piawai Konvensyen Chicago.

Sidang media anjuran Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu sepatutnya diadakan pada jam 3.30 petang di Putrajaya.

Ia bagaimanapun dibatalkan ekoran “kehadiran waris penumpang di majlis taklimat", kata DCA dalam kenyataannya petang ini.

Anggota keluarga semalam mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan Malaysia tidak membuat kesimpulan melulu berhubung isu itu.

MH370, yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing, pada Mac lalu.

Sehingga kini jejaknya masih belum dikesan.

Advertisement

0 Response to "MH370 : Akan dapat membantu para waris untuk mengemukakan tuntutan ganti rugi mereka"

Post a Comment